Monday, August 31, 2009

~antara kebebasan hakiki dan merdekanya hati~

Di himpit kebosanan yang MAHA dasyat, semalam aku membrowse youtube (sambil mendengar konsert Satu di channel188) dan terjumpa filem pendek ini. Ianya adalah salah satu antara 15 filem pendek yang terlibat dengan projek 15 Malaysia dibuat oleh 15 pembikin filem di Malaysia. Paparan tentang sosio-politik di Malaysia, isu-isu kemasyarakatan dan kempen satu Malaysia menjadi tema utama dalam filem-filem pendek ini.



31 Ogos, hari ini.. seluruh rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan..
Bagi aku sebagai warganegara Malaysia yang sah (~duh mengaku Pinoy kunu!~), aku bersyukur kerana kita hidup dalam keadaan aman, damai sejahtera, walaupun situasi politiknya kekadang membuatkan aku loya..
Setiap tahun, aku akan teringat kepada arwah atok aku.
Allahyarham Bakri Bin Amir (my mum's dad).. Arwah akan dengan gigihnya
memasak ubi kayu, samada ubi kayu itu digoreng, dibakar ataupun direbus pada malam 31Ogos.. dan kami sekeluarga akan duduk di ruang tamu bersama-sama menonton konsert siaran langsung kemerdekaan di TV1 (masa tu astro takda lagi) dan berjaga sehingga 12 tengah malam.. Ini menjadi rutin tahunan kitorang dulu dan arwah akan berkata,
"ini lah yang kami makan dulu masa zaman jepun" dan arwah akan bercerita kisah muda-mudanya dengan kami sambil menghisap rokok daun.. arwah atok aku bersyukur kerana terlepas dari menjadi P.O.W yang dipaksa untuk berjalan kaki dari Sandakan ke Ranau..
untuk keterangan lanjut tentang Sandakan Death Marches sila klik : en.wikipedia.org/wiki/Sandakan_Death_Marches

Arwah atok aku seorang yang patriotik, dia akan marah apabila kami mempersendakan lagu Negaraku semasa kami kecil dan bendera Malaysia (yang pada masa itu belum digelar jalur gemilang) akan sentiasa tergantung depan pintu rumah atok aku sepanjang bulan Ogos. Hanya mereka yang lahir dan hidup pada zaman-zaman penjajahan dahulu akan merasakan erti hari kemerdekaan yang sebenar kerana mereka faham akan erti kesengsaraan.

Kemerdekaan mempunyai pengertian yang berbeza-beza bagi setiap orang. Merdeka tidak semestinya bebas, dan bebas tidak semestinya merdeka. Sememangnya 31 Ogos hari kemerdekaan bagi Malaysia (tapi bukan untuk Sabah dan Sarawak) yang sinonim dengan kita semua adalah hari cuti, hari memasang bendera pada kereta, menggantung bendera di balkoni rumah, menonton konsert dan pertunjukan bunga api, melaungkan merdeka tujuh kali pada jam 12 malam : sebenarnya ini adalah waktu sesuai untuk kita memanjatkan kesyukuran kerana negara kita dalam keadaan yang aman dan kita tidak lagi menjadi mangsa penjajahan kuasa-kuasa luar.

Merdeka itu sendiri sebenarnya satu perkara yang subjektif mengikut perspektif masing masing, merdeka bagi aku adalah kebebasan untuk menjadi seorang individu yang boleh membuat keputusan dan pilihan untuk diri sendiri dan bebas untuk melakukan apa sahaja yang ingin dilakukan serta terhindar dari rasa benci dan hasad dengki. Merdeka kita berbeza-beza. Terpulang kepada anda bagaimana memerdekakan diri dan hati masing-masing. Merdeka anda bagaimana pula??

p/s: adik konsert satu itu biasa-biasa sahaja, ianya kekurangan elemen surprise dan seperti dijangkakan, siti memang deliver lagu dengan baik- she can do better. dan lagu "last night" itu bukan lagu lucah apabila dinyanyikan dengan penuh kasih sayang. hehe..