Sunday, August 30, 2009

~pernyataan hati buat Aisya'~

Assalamualaikum,
Semoga Aisya' berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Izinkan aku untuk memulakan warkah ini dengan memanjat kesyukuran
ke hadratNya, alhamdulliah kita masih lagi bernafas di bumi Allah ini,yang baik itu hanya daripada Nya dan buruk itu adalah berpunca dari kita semua sebagai insan biasa
yang meminjam semua milikNya,

Maafkan aku aisya' untuk warkah ini, maafkan aku kerana mengambil sedikit waktu bermain aisya'.
Aku fikirkan aku perlu untuk meluahkan ini semua. Aku rasakan aku harus menyatakan semua ini Aisya'.Walaupun kita tidak pernah bersua muka dan berkenalan tetapi aku mengetahui serba sedikit tentang Aisya' melalui gambar yang aku lihat dan cerita yang aku dengar. Aku hanya insan biasa Aisya', tidak ada yang istimewa. Insan biasa yang tidak Aisya' kenali. Di dalam surat ini nanti, aku menggunakan perkataan "kami" merujuk kepada aku dan seseorang disini (di wilayah Labuan ini), dan "dia" merujuk kepada seorang insan yang istimewa buat "kami".

Pertemuan antara kami dan dia berlangsung di sebuah kedai makan di Labuan ini. Menerusi dunia siber, kami berkenalan dan bersedia untuk bertemu. Hanya kami dan dia. Siapa sangka seorang yang muda berbanding kami mempunyai kekuatan dan kematangan fikiran yang jauh lebih baik dari usianya. Mengkagumkan. tutur bahasanya dan tingkah gayanya yang manja sangat menarik perhatian. Awal-awal pertemuan kami lagi, dia sudah menyatakan tentang Aisya'. Aisya' seharusnya berbangga mempunyai seseorang yang sangat menyayangi Aisya', ketahuilah Aisya' dia bukan calang-calang
orang nya.

Aisya',
Perkenalan kami dan dia berlanjutan hari berikutnya, aku mulai tersedar bahawa "dia" bukan seorang yang biasa, istimewa, dan pasti sesiapa sahaja akan mudah jatuh cinta dengan dia. Aisya' tahu, selalunya bila kami dan dia bersama-sama, dia selalunya busy dengan handphone. kejap-kejap sms, kejap-kejap call. Apa yang aku tahu, lingkungan sosialnya terlalu besar dan ramai. Memang tidak ada salahnya Aisya' kalau kita mempunyai ramai kawan tetapi Aisya' harus ingat, kita harus bijak memilih kawan. kawan adakalanya menjadikan kita insan yang lebih baik mahupun sebaliknya, kawan juga akan mempengaruhi sedikit sebanyak cara hidup kita.Yang pasti, kawan akan menjadikan hidup kita menjadi lebih hidup.
Begitu juga dengan kami, Hidup kami menjadi lebih hidup setelah mengenali dia dan
hubungan kami bertambah baik sebenarnya setelah mengenali dia.
Pertama kali dalam hidup kami memiliki seorang adik bersama-sama. Tidak keterlaluan jika aku menyatakan pertemuan singkat antara kami dan dia telah membuahkan rasa sayang yang tidak dapat digambarkan.
Dan untuk waktu sesingkat ini, kami merasakan kasih sayang dari seorang adik.

Entahlah, kami mungkin terlalu merasa kosong disini. Kosong kerana setiap hari adalah rutin biasa yang berulang-ulang memamah usia kami. Kehadiran dia dalam hidup kami sebenarnya menjadi satu titik tanda yang kami memerlukan sesuatu untuk menjadi lebih hidup. Bagaikan sebuah panggilan untuk bangun dari tidur yang panjang, dia muncul dalam hidup kami.

Aisya',
Keputusan untuk menyayangi, menerima, memilih dan mencintai adalah tangungjawab diri sendiri.Dia yang ku kenali, merupakan seorang yang tekad dengan keputusan sendiri.
Dia merupakan contoh terbaik untuk seorang yang bangkit dari kegagalan dalam melestarikan cinta. Melihat dia sebenarnya seolah-olah aku melihat diri aku sendiri.
Dia adalah aku beberapa tahun dahulu tetapi bezanya dia jauh lebih baik berbanding aku. Aku kurang pasti samada cintanya yang lalu itu masih lagi menghantui hari-harinya. Aku hanya mampu menasihatkan agar dia terus bangkit dan tidak berputus asa dengan cinta.Cuma, dia harus lebih berhati-hati, lebih berjaga-jaga. Adakalanya dia nakal, aku tahu aku juga begitu dahulu, darah muda yang mengalir dalam tubuhnya mungkin memaksa dia begitu atau mungkin juga dia masih menghukum dirinya atas kesetiaan yang tidak dihargai.

Tidak apa Aisya', banyak yang harus dia lakukan dan alami sendiri. Biarkan dia mencuba semuanya, biarkan dia merasa semuanya, biar dia belajar segalanya. Dia masih muda dan untuk survival hidup dia memerlukan pengalaman.

Aisya'
Untuk pengetahuan Aisya', dua malam yang lepas kami bersama-sama meluangkan waktu di pusat berkaraoke. Dia merupakan penyanyi yang baik. Aisya' mesti tahu kan? Mesti Aisya' sudah puas mendengar alunan merdu suaranya sewaktu dia mendodoi Aisya'. Suaranya akan sentiasa bermain di benak kami. Semalam sewaktu dia mendendangkan lagu “Salam Terakhir” seseorang menitiskan air mata. Aku tidak menyangka kehadiran dia dalam hidup kami begitu memberikan kesan. Mungkin kerbersamaan kami dan dia telah mengeratkan lagi rasa sayang walaupun untuk waktu yang singkat. Memang aku agak kecewa sedikit apabila kami tidak dapat menghabiskan masa lebih banyak bersama pada malam semalam. Kesempitan waktu dan ruang masa menjadi cabaran hebat buat kami dan dia. Aku bahagia sebenarnya melihat dia ketawa, melawak, tetapi dari hati yang ikhlas, aku rasakan tidak perlu orang lain untuk menyangkal dan memberikan pandangan peribadi terhadap perlakuan seseorang. Dia mempunyai habit mengangkat tangan apabila menyanyi, itu adalah dia, dan itu tidak perlu menjadi persoalan. Seseorang harus menerima segalanya, baik dan buruk kita, dan bukan menilai pada pertemuan kali pertama. Aku yakin dia bijak untuk mengetahui.

Sewaktu aku menulis surat ini, mungkin dia berada dalam pelukan Aisya'. Kami berharap agar hubungan antara kami dan dia tidak hanya berakhir disini. Kami berharap ikatan ini menjadi lebih kuat dan lebih dalam sewaktu perpisahan sementara ini. Aku yakin satu hari nanti, dia akan bersama-sama dengan kami semula. Aku sangat yakin Aisya'.

Oh ya Aisya', sudah terima patung doodolls yang kami kirimkan? Aisya' suka tak patung yang matanya tiga itu. Ya Aisya' itu memang alien bukan kucing. Tapi simboliknya patung itu harus Aisya' khabarkan kepada dia. Tiga mata mewakili mata, hati dan fikir. Kita harus melihat semua benda di dunia menerusi mata, hati dan fikir. Kekuatan mata hanya mampu menilai menerusi pandangan fizikal luar sesuatu, dan cantik tidak semestinya baik Aisya', keterbatasan mata memerlukan kita untuk menilai dengan hati, dan hati pula adakalanya dipengaruhi nafsu dan orang kata, ikut hati mati. Maka, keterbatasan mata dan hati memerlukan kita menilai sesuatu dengan fikir. Gabungan ketiga-tiganya menjadikan kita insan yang lebih baik. Percayalah Aisya', nanti Aisya' akan belajar sendiri.

Aku ingin menulis lebih banyak lagi Aisya'. Aku ingin menulis tentang hebatnya dia di mata kami, manjanya dia pada semua orang, lincahnya dia beraksi, kepohnya dia bercerita, tentang lawak jenaka, mimik muka nya, dan banyak lagi tentang dia yang aku ingin khabarkan, tetapi aku tahu, Aisya' lebih mengenali dia berbanding kami dan yang pasti Aisya', kami merasakan satu kekurangan yang maha dasyat bermula hari ini. Dia pernah berkata, “bersendiri dapat membuatkan kita lebih kenal diri kita sendiri” dan aku akan ingat itu untuk selamanya. Terima kasih Aisya', meluangkan masa untuk membaca warkah ini. Aku pasti kita akan bertemu satu hari nanti.
Dan pada waktu itu nanti aku akan kucup kedua-dua kelopak mata Aisya' kerana hanya mereka yang terlalu istimewa sahaja akan menerimanya. Salam sayang buat Aisya'. Sekian.